PENDAFTARAN ORANG KURANG UPAYA
Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) dibuat secara sukarela di seluruh negara. Agensi yang terlibat dalam pendaftaran adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan. Pendaftaran OKU hendaklah dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian.
OBJEKTIF
- Untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini bagi maksud merancang program berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi, latihan dan perkhidmatan.
- Untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
- Untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian menurut keperluan berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan mereka.
DEFINISI OKU
- Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008
'Orang Kurang Upaya' termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.
KATEGORI OKU
1. PENDENGARAN
Kurang Upaya Pendengaran bermaksud tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantu pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantu pendengaran. Kurang Upaya pendengaran boleh dibahagi kepada empat tahap, iaitu :
Minimum 15 - < 30dB (kanak-kanak)
20 - < 30 dB (orang dewasa)
Sederhana 30 - < 60 dB
Teruk (severe) 60 - < 90dB
Sangat Teruk (profound) >_90dB
2. PENGLIHATAN
Kurang Upaya Penglihatan bermaksud buta kedua-dua belah mata ATAU buta di sebelah mata ATAU penglihatan terhad di kedua-dua belah mata ATAU lain lain gangguan penglihatan kekal.
Kurang upaya penglihatan boleh dibahagi kepada :
Terhad bermaksud penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 Darjah dari fixation.
**kurang daripada 3/60 ialah Counting Fingers (CF), Hand Movement (HM), Perception of Light (PL) dan No-Perception Light (NPL).
Lain-lain gangguan penglihatan kekal
(hanya boleh disahkan oleh Pakar Oftalmologi)
3. PERTUTURAN
Kurang Upaya Pertuturan bermaksud tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempurna dan tidak boleh difahami oleh mereka yang berinteraksi dengannya. Keadaan ini adalah kekal atau tidak akan sembuh. Bagi kanak-kanak mestilah berdasarkan penilaian pada umur lima tahun ke atas. Sekiranya ada kemusykilan, Pakar Otorinolaringologi hendaklah dirujuk.
4. FIZIKAL
Kurang Upaya Fizikal bermaksud ketidakupayaan kekal anggota badan sama ada disebabkan oleh kehilangan ATAU ketiadaan ATAU ketidakupayaan mana-mana anggota badan yang boleh menjejaskan fungsi mereka dalam melakukan aktiviti asas sepenuhnya.
Aktiviti asas yang dimaksudkan ialah seperti penjagaan diri, pergerakan dan penukaran posisi tubuh badan. Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada kecederaan (trauma) atau penyakit pada mana-mana sistem saraf, kardiovaskular, respiratori, hematologi, imunologi, urologi, hepatobiliari, muskuloskeletal, ginekologi dan lain-lain yang menyebabkan ketidakfungsian.
Contoh penyebab ketidakupayaan ini adalah:
a) Limb defects (congenital/acquired), termasuk kehilangan ibu jari tangan
b) Spinal Cord Injury
c) Stroke
d) Traumatic Brain Injury
e) Kerdil (Achondroplasia) iaitu < 142cm bagi lelaki dan <138cm bagi wanita
f) Cerebral Palsy
Nota : Individu yang mengalami keadaan kekurangan (impairment) tanpa menjejaskan fungsi, contohnya kehilangan jari, mempunyai lebih jari (polydactyly) dan tidak ada atau tidak sempurna cuping telinga tidak dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran.
5. MASALAH PEMBELAJARAN
Masalah Pembelajaran bermaksud masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah Lewat Perkembangan Global, Sindrom Down dan kurang upaya intelektual. Kategori ini juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu seperti autisme (autistic spectrum disorder), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran spesifik seperti (dyslexia, dyscalculia dan dysgraphia).
6. MENTAL
Kurang Upaya Mental merujuk kepada keadaan penyakit mental yang teruk menyebabkan seseorang itu tidak berupaya berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat.
Diantara jenis-jenis penyakit mental tersebut ialah Organic Mental Disorder yang serius dan kronik, Skizofrenia, Paranoid, Mood Disorder (depression, bipolar) dan other Psychotic Disorder seperti Schizoaffective Disorder dan Persistent Disorders.
Nota :
a) Klien mestilah telah menjalani rawatan psikiatri sekurang-kurangnya dua tahun.
b) Pakar Psikiatri akan menentukan tahap kefungsian sosial, kognitif dan kawalan tingkah laku pesakit terjejas dengan ketara atau teruk sebelum beliau dipertimbangkan bagi tujuan pendaftaran OKU.
7. PELBAGAI (Multiple Disabilities)
Kurang Upaya Pelbagai (Multiple Disabilities) bermaksud mempunyai lebih daripada satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan dalam kategori 1 hingga 6.
No comments:
Post a Comment