Perkhidmatan bantuan kewangan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disediakan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.
Pengendalian permohonan bantuan kewangan dibuat di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian (PKMD/J/B) di seluruh negara. Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasar kepada kelayakan dan bukan hak.
Tujuan umum bantuan kewangan kebajikan adalah seperti berikut :
1. Penyaraan pendapatan keluarga bagi memenuhi keperluan asas kehidupan.
2. Menggalakkan kumpulan sasar yang masih produktif supaya minat bekerja dan berdikari.
3. Meningkatkan taraf kehidupan kumpulan sasar agar dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna.
JKM menyediakan 11 jenis bantuan kewangan :
1. Bantuan Kanak-kanak (BKK)
2. Bantuan Anak Pelihara (BAP)
3. Bantuan Orang Tua (BOT)
4. Elaun Pekerja Cacat (EPC)
5. Bantuan Latihan Perantis (BLP)
6. Bantuan Am (BA)
7. Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT)
8. Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) Tidak Berupaya Bekerja (BTB)
9. Bantuan Alat Tiruan / Sokongan (BAT)
10. Bantuan Geran Pelancaran (BGP)
11. Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB).
Kriteria Kelayakan Am Permohonan Bantuan
1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia dan jika Penduduk Tetap (PR) hendaklah bermastautin di Malaysia sebelum tahun 1957.
2. Pendapatan keluarga tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa iaitu RM 720 sebulan bagi Semenanjung Malaysia, RM 830 sebulan bagi Sarawak dan RM 960 sebulan bagi Sabah.
3. Golongan yang tidak berkemampuan dan berkeperluan dengan mengambilkira lain-lain faktor seperti bilangan anak/tanggungan yang tinggal bersama dan berasingan, tahap ketidakupayaan ketua keluarga atau ahli keluarga, sokongan dari ahli keluarga, keadaan dan kelengkapan rumah berdasarkan keperluan keluarga dan faktor-faktor lain yang munasabah serta boleh memberikan gambaran kedudukan kewangan dan perbelanjaan harian pemohon/keluarga.
No comments:
Post a Comment